1. Binatang
laut dan
2. Binatang
darat.
Binatang ini semua halal,
didapat dalam keadaan bagaimanapun, apakah waktu diambilnya itu masih dalam
keadaan hidup ataupun sudah bangkai, terapung atau tidak. Binatang-binatang
tersebut berupa ikan ataupun yang lain, seperti: anjing laut, babi laut dan
sebagainya.
Bagi yang mengambilnya
tidak lagi perlu diperbincangkan, apakah dia seorang muslim ataupun orang
kafir. Dalam hal ini Allah memberikan keleluasaan kepada hamba-hambaNya dengan
memberikan perkenan (mubah) untuk makan semua binatang laut, tidak ada satupun
yang diharamkan dan tidak ada satupun persyaratan untuk menyembelihnya seperti
yang berlaku pada binatang lainnya. Bahkan Allah menyerahkan bulat-bulat kepada
manusia untuk mengambil dan menjadikannya sebagai modal kekayaan menurut
keperluannya dengan usaha semaksimal mungkin untuk tidak menyiksanya. Firman
Allah:
“Dialah Zat yang
memudahkan laut supaya kamu makan daripadanya daging yang lembut.” (an-Nahl:
14)
“Dihalalkan buat kamu
binatang buronan laut dan makanannya sebagai perbekalan buat kamu dan untuk
orang-orang yang belayar.” (al-Maidah: 96)
Di sini Allah menyampaikan
secara umum, tidak ada satupun yang dikhususkan, sedang Allah tidak akan lupa
(wamakana rabbuka nasiyan).
Binatang darat yang haram
Tentang binatang darat,
al-Quran tidak jelas menentukan yang haram, melainkan babi, darah, bangkai dan
yang disembelih bukan kerana Allah, sebagaimana telah disebutkan dalam beberapa
ayat terdahulu, dengan susunan yang terbatas pada empat macam dan diperinci
menjadi 10 macam. Tetapi di samping itu al-Quran juga mengatakan:
“Dan Allah mengharamkan
atas mereka yang kotor-kotor.” (al-A'raf: 157)
Yang disebut Khabaits
(yang kotor-kotor), iaitu semua yang dianggap kotor oleh perasaan manusia
secara umum, kendati beberapa prinsip mungkin menganggap tidak kotor. Justru
itu Rasulullah dalam hadisnya melarang makan keledai kota pada hari Khaibar.
Hadisnya itu berbunyi
sebagai berikut: "Rasulullah s.a.w. melarang makan daging keledai kota
pada hari perang Khaibar."[4] (Riwayat Bukhari)
Dan untuk itu
diriwayatkan bahawa Rasulullah melarang binatang yang bertaring dan burung yang
berkuku mencengkeram: "Rasulullah melarang makan semua binatang buas yang
bertaring dan burung yang berkuku mencengkeram." (Riwayat Bukhari)
Yang dimaksud Binatang
Was (siba'), iaitu binatang yang menangkap binatang lainnya dan memakan dengan
bengis, seperti singa, serigala dan lain-lain. Dan apa yang dimaksud dengan
burung yang berkuku (dzi mikhlabin minath-thairi), iaitu yang kukunya itu dapat
melukai, seperti burung elang, rajawali, ruak-ruak bangkai dan burung yang
sejenis dengan elang.
Ibnu Abbas berpendapat,
bahawa binatang yang haram dimakan itu hanya empat seperti yang tersebut dalam
ayat. Seolah-olah beliau menganggap hadis-hadis di atas dan lain-lain sebagai
mengatakan makruh, bukan haram. Atau mungkin kerana hadis-hadis tersebut tidak
sampai kepadanya.
Ibnu Abbas juga pernah
berkata: "Bahawa orang-orang jahiliah pernah makan sesuatu dan
meninggalkan sesuatu kerana dipandang kotor. Kemudian Allah mengutus nabiNya
dan menurunkan kitabNya. Di situlah menghalalkan yang halal dan mengharamkan
yang haram. Oleh kerana itu, apa yang dihalalkan, berarti halal, dan apa yang
diharamkan, berarti haram, sedang yang didiamkan berarti dimaafkan (halal).
Kemudian ia membaca ayat:
“Katakanlah! Saya tidak
mendapatkan sesuatu yang diwahyukan kepadaku tentang makanan yang diharamkan
bagi orang yang mahu makan kecuali ...” (al-An'am: 145) [5]
Berdasar ayat ini, Ibnu
Abbas berpendapat bahawa daging keledai kota itu halal. Pendapat Ibnu Abbas ini
diikuti oleh Imam Malik, dimana beliau tidak menganggap haram terhadap
binatang-binatang buas dan sebagainya, tetapi ia hanya menganggap makruh.
Yang sudah pasti,
bahawa penyembelihan secara syara' tidak mempengaruhi halalnya
binatang-binatang yang haram itu, tetapi mempengaruhi terhadap sucinya kulit
sehingga tidak perlu lagi disamak.